(A)        Ordinan Buruh (Sabah Bab. 67) Pindaan 2005         

 

(1)        Had Waktu Bekerja      

Apakah had waktu bekerja bagi seorang pekerja di bawah Ordinan Buruh (Sabah Bab 67)?

Seorang pekerja diperuntukan tempoh waktu bekerja tidak melebihi 8 jam sehari. Bagi seorang pekerja syif, tempoh waktu bekerja adalah tidak melebihi 12 jam sehari atau tidak melebihi 56 jam dalam satu minggu dengan purata 48 jam seminggu bagi tiga minggu berturut-turut.                                

 (2)        Faedah-Faedah Utama 

Apakah faedah-faedah utama yang diperuntukan di bawah Ordinan Buruh (Sabah Bab. 67)?

Faedah-faedah utama yang diperuntukan ialah :   

(i)         Hari Rehat :    

Seorang pekerja diperuntukan satu hari rehat dalam seminggu. Sekiranya dia dikehendaki bekerja oleh majikannya pada hari rehatnya, dia berhak menerima bayaran gaji atas kadar seperti berikut:

 Pekerja bergaji harian atau mengikut jam:

Jika bekerja tidak melebihi 4 jam maka pekerja tersebut layak untuk mendapat bayaran satu hari gaji.

Jika bekerja melebihi 4 jam tetapi tidak melebihi 8 jam maka pekerja tersebut layak mendapat bayaran dua hari gaji.

 

Pekerja Bergaji Bulan:

Jika bekerja tidak melebihi 4 jam maka pekerja tersebut layak untuk mendapat bayaran setengah hari gaji.

Jika bekerja melebihi 4 jam tetapi tidak melebihi 8 jam maka pekerja tersebut layak mendapat bayaran satu hari gaji.

 

Bayaran Cara 'Piece Rate':

Pekerja layak untuk mendapat bayaran 2 kali ganda daripada kadar 'per piece'

 

Kerja lebih masa Pada hari rehat:

Pekerja layak untuk menuntut 2 kali ganda kadar gaji biasa sejam.

 

  (ii)        Cuti Umum yang ditetapkan (Prescribed Holidays) :      

Ordinan tersebut menetapkan empat belas (14) hari cuti bergaji penuh (paid prescribed holidays) yang mana empat (4) daripadanya ditetapkan seperti berikut:

(a) Hari Kebangsaan;
(b) Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong;
(c) Hari Keputeraan Yang Dipertua Negeri Sabah';
(d) Hari Pekerja   

                            

  (iii)       Faedah Bersalin:         

Pekerja wanita layak mendapat cuti bersalin selama 60 hari. Cuti bersalin tersebut boleh diambil samada 30 hari sebelum bersalin atau mengambil keseluruhan 60 hari sekali gus selepas bersalin dengan syarat tidak melebihi 30 hari sebelum bersalin.

 

(3)       Kewajipan Majikan Memberi Pekerjaan           

(i)         Adakah saya berhak menuntut gaji dalam tempoh menunggu bilamana saya tidak diberi sebarang pekerjaan oleh majikan saya sedangkan saya bersedia dan sesuai untuk melakukan pekerjaan ?

Anda berhak menuntut bayaran bagi tempoh berkenaan sekiranya anda hadir bekerja di tempat kerja anda. Sekyen 10, Ordinan Buruh (Sabah bab. 67) melindungi anda dengan meletakkan tanggungjawap terhadap majikan anda untuk memberikan anda pekerjaan bagi tempoh 6 hari dalam seminggu. Jika majikan anda gagal atau tidak memberi pekerjaan bagi hari-hari berkenaan sedangkan anda bersedia dan sesuai bekerja maka, majikan anda tidak terkecuali daripada kewajipannya membayar gaji biasa anda setiap hari tersebut bilamana pekerjaan tidak di beri kepada anda bukan atas kesalahan anda.

(ii)    Apakah harus saya lakukan sekiranya kemalangan terjadi keatas diri saya semasa saya berada dalam pekerjaan ?

Selaras dengan Sekyen 12, Akta Pampasan Pekerja, 1952 anda hendaklah memberitahu majikan anda dalam tempoh 7 hari dari tarikh kejadian kemalangan yang mencederakan serta menyebabkan anda kehilangan daya upaya untuk bekerja.

 

(iii)    Sebagai seorang majikan apakah harus saya lakukan bilamana sesuatu kemalangan terjadi terhadap seseorang pekerja saya semasa dalam pekerjaan ?

Menurut peruntukan Akta Pampasan Pekerja 1952, anda adalah dikehendaki menghantar pekerja yang cedera kerana ditimpa kemalangan itu dengan segera untuk mendapatkan rawatan di despensari atau hospital kerajaan yang berdekatan. Selain dari itu, anda juga dikehendaki melaporkan kemalangan tersebut dalam tempoh 10 hari daripada tarikh kemalangan itu berlaku ke Jabatan Tenaga Kerja.

 

(4)   Notis Penamatan Kerja (Seksyen 11)                                                       

 Berapakah tempoh notis yang dikehendaki bagi menamatkan sesuatu pekerjaan?

Tempoh notis untuk menamatkan sesuatu pekerjaan adalah bergantung kepada tempoh penggajian:

(a) 4 minggu untuk penggajian kurang 2 tahun
(b) 6 minggu untuk penggajian 2 tahun atau lebih tetapi kurang daripada 5 tahun
(c) 8 minggu untuk penggajian 5 tahun atau lebih.            

 

(5)    Penggajian Pekerja Bukan Pemastautin (seksyen 118)            

Apakah tanggungjawab seorang majikan yang ingin menggaji pekerja bukan pemastautin?

Seorang majikan adalah dikehendaki memohon untuk mendapat Lesen Menggaji Pekerja Bukan Pemastautin menurut Seksyen 118, Ordinan tersebut jika dia ingin menggaji pekerja bukan pemastautin.
Anda perlu memohon dengan menggunakan Borang Permohonan yang boleh didapati daripada mana-mana Pejabat Imigresen (Urusetia Jawatankuasa Pengendalian Buruh Asing bagi Sabah dan W.P.Labuan) di Sabah dan mengemukakan permohonan anda berserta salinan dokumen-dokumen berikut:

 i) Kad Pengenalan.
ii) Lesen Perniagaan
ii) Geran Tanah
iii) Dokumen berkaitan dengan aktiviti penggajian.
iv) Penyata gaji.
v) cukai pendapatan (untuk permohonan mendapatkan pembantu rumah sahaja).

(6)   Had Umur Bekerja                 

 

Apakah had umur untuk bekerja yang dibenarkan di bawah perundangan buruh ?

Seorang majikan adalah dilarang daripada menggaji seorang pekerja kanak-kanak di bawah umur 14 tahun di dalam sektor pembuatan, pembinaan, pengangkutan, perlombongan atau tempat-tempat lain seperti restoran, kedai kopi, bar, hotel atau pejabat selaras dengan Perintah Penggajian Kanak-Kanak,1959, di bawah Ordinan Buruh (Sabah Bab.67)

 

(B)   Akta Pampasan Pekerja, 1952

(1)    Insuran Pampasan Pekerja             

(i)     Bolehkah seorang majikan memperolehi polisi insuran pampasan pekerja daripada mana-mana syarikat insurans?

Menurut Perintah Pampasan Pekerja (Skim Pampasan Pekerja Asing) (Insurans) 1996, majikan boleh memperolehi polisi insurannya daripada syarikat-syarikat yang dibenarkan seperti berikut :

(a)    Alliance General Insurance Malaysia Berhad 

 (b)    Berjaya General Insurance                  

(c)    Kurnia Insurance Berhad                     

(d)    London & Pacific Insurance Company Berhad                                                                     

(e)    Malaysia Assurance Alliance Berhad                                                                                   

(f)     Mayban General Assurance Berhad                                   

(g)    Malaysia National Insurance Berhad

 (h)    Syarikat Takaful Malaysia Berhad

 (i)     Takaful National Sdn Bhd

 (j)     Tahan Insurance Malaysia Berhad

            

(ii)    Adakah saya berhak mendapat perlindungan sekiranya saya ditimpa kemalangan semasa bekerja?

Jika anda bukan seorang pekerja warganegara dan diliputi dalam takrif seorang pekerja di bawah seksyen 2, Akta Pampasan Pekerja 1952, anda adalah berhak mendapat perlindungan dibawah Akta yang sama. Perlindungan adalah berupa bayaran pampasan. Pekerja atau tanggungan wajib dibayar oleh majikan jika sesuatu kemalangan itu berlaku daripada dan semasa anda bekerja

 

 

 

Page generated in 0.08632 seconds.