12th May, 2015

KOTA KINABALU: Kadar pengangguran di Sabah ketika ini, pada kadar 4.7 peratus, agak tinggi berbanding hanya di bawah 4 peratus di Sememanjung Malaysia dan Sarawak, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia Datuk Seri Ismail Mutallib.

Sehubungan itu katanya usaha murni Jabatan Tenaga Kerja Sabah (JTK) menganjurkan Program Kembara Kerjaya Sabah pastinya akan dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran di kalangan rakyat negeri ini.

“Sempena karnival ini lebih 100 majikan dari Sabah dan Sememanjung menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dan jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Program Kembara Kerjaya Sabah 2015 dan Karnival Pekerjaan Kota Kinabalu di Dataran KWSP, di sini, kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri Kewangan Datuk Ramlee Marhaban.

Ismail percaya, melalui karnival pekerjaan yang akan diadakan di enam daerah iaitu Kota Kinabalu, Keningau, Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan, pastinya dapat memberi peluang kepada seluruh rakyat negeri ini untuk mendapat pekerjaan atau meningkatkan taraf pekerjaan masing-masing

Beliau berkata, pendekatan bersepadu di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) tepat pada masanya dan kerajaan amat menggalakkan usaha murni ini.

“Melalui pameran yang dibuat oleh agensi-agensi kerajaan yang lain, masyarakat umum akan dapat memperolehi maklumat mengenai peranan dan fungsi agensi-agensi yang terlibat.

“Di samping itu, rakyat berpeluang mengetahui peluang-peluang latihan kemahiran yang boleh diceburi bagi meningkatkan keupayaan diri dan kebolehpekerjaan serta didedahkan dengan maklumat pembangunan di negeri ini,” katanya. – OLEH MARRYAN RAZAN

Page generated in 0.06788 seconds.