3,000 peluang pekerjaan pelbagai bidang ditawarkan 100 majikan

12th May, 2015

OLEH MARRYAN RAZAN This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

KOTA KINABALU: Sebanyak 3,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang ditawarkan oleh 100 majikan dari Sabah dan Sememanjung Malaysia sempena Program Kembara Kerjaya Sabah 2015 dan Karnival Pekerjaan Kota Kinabalu.

Program selama lima hari yang akan berakhir 15 Mei itu dianjurkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah. Pengarah JTK Sabah Kamal Pardi berkata, progam berbentuk konvoi yang julung kalinya diadakan di negeri ini disertai 30 buah kenderaan pacuan empat roda terdiri daripada pihak majikan, penyedia latihan dan agensi kerajaan.

Katanya para peserta memulakan perjalanan dari satu destinasi ke satu destinasi melibatkan enam daerah iaitu Kota Kinabalu, Keningau, Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan, untuk membawa peluang pekerjaan dan maklumat berkenaan pembangunan di negeri ini.

“Konvoi selama lima hari berturut-turut dari Kota Kinabalu ke Sandakan sejauh kira-kira 898.9 kilometer ini disertai pelbagai agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan majikan,” katanya ketika berucap pada Program Kembara Kerjaya Sabah 2015 dan Karnival Pekerjaan Kota Kinabalu di Dataran KWSP, di sini, kelmarin.

Program itu dirasmikan oleh Pembantu Menteri Kewangan Datuk Ramlee Marhaban.

Kamal berkata, Program Karnival Pekerjaan turut diadakan di setiap daerah berkenaan bagi memberi peluang kepada pencari kerja mendapat pekerjaan melalui temuduga terbuka.

“Ia juga memberi kesedaran kepada masyarakat tempatan tentang kewujudan JobMalaysia dan agensi-agensi lain yang terlibat serta fungsinya.

“Selain itu konvoi ini juga bertujuan menambah nilai kebolehpasaran kerja terutama di kalangan anak-anak muda yang berpotensi dan produktif,” katanya.

Kamal berkata, peluang pekerjaan turut diperluaskan kepada peserta Azam Kerja- vAzam Sabah yang tersenarai dalam e-Kasih.

“Ia akan membolehkan mereka mengikuti program employability yang mana mereka didedahkan dengan aktiviti penyesuaian kerjaya serta motivasi dan pengenalan kepada alam pekerjaan,” katanya.

Kamal berkata, melalui program itu peserta e-kasih akan diberi bantuan secara tawaran peluang pekerjaan bagi mengurangkan kebergantungan peserta kepada bantuan kerajaan dan secara langsung dapat meningkatkan sumber pendapatan mereka.

“Saya berharap melalui program ini, usaha kerajaan untuk mengeluarkan golongan sasar dari garis kemiskinan tercapai seterusnya merealisasikan transformasi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya.

Page generated in 0.06729 seconds.