Sasaran 50 Peratus Pekerja Mahir Pelbagai Bidang Menjelang 2020
BERNAMA Online (Am) : 04/06/2014

 

 

KUALA TERENGGANU, 4 Jun (Bernama) -- Menjelang tahun 2020, kerajaan menyasarkan untuk melahirkan 50 peratus pekerja mahir daripada kalangan warga kerja, sesuai dengan hasrat menjadikan Malaysia negara maju dan berdaya saing.

 

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata ketika ini negara hanya mempunyai 28 peratus tenaga mahir dan mensasarkan pada tahun hadapan sebanyak 33 peratus tenaga mahir dapat dilahirkan.

 

"Pada tahun 2020 dijangka kita mempunyai kira-kira 13 juta pekerja dan separuh daripada itu, kira-kira enam juta, mestilah pekerja mahir dalam pelbagai bidang," katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen 116 pelatih pelbagai Persijilan Kemahiran Malaysia peringkat negeri Terengganu di sini Rabu.

 

Kursus itu anjuran Pusat Latihan QAD Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia.

 

Ketika ditanya mengenai kurangnya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menceburi bidang kemahiran, Ismail berkata hanya 10 peratus pelajar di negara ini menceburi bidang vokasional.

 

Sedangkan, kata Ismail, negara maju lain seperti Australia dan Korea Selatan, kira-kira 40 peratus pelajar menceburi bidang vokasional atau kemahiran.

 

"Untuk menjadi sebuah negara maju, bidang kemahiran perlu diutamakan. Ibu bapa jangan hanya meletakkan kejayaan anak-anak pada akademik semata-mata, kerana peringkat lanjutan, mereka akan bekerja dan kalau hanya tumpu kepada bidang akademik semata-mata, maka mereka tidak tahu bekerja," katanya.

 

Ismail juga memberi penghargaan kepada pusat-pusat latihan kemahiran yang bertauliah kerana mampu memberi latihan kemahiran selaras dengan kehendak kerajaan untuk menjadikan negara ini negara maju pada 2020.

 

Ketika ini terdapat 1,200 pusat latihan kemahiran di seluruh negara yang menyediakan pelbagai kursus seperti bidang minyak dan gas, motomekanik, automotif, perhotelan, kulinari, menjahit, kimpalan dan sebagainya. Kursus diadakan antara enam bulan dan dua tahun.

 

Menurutnya sejak program latihan kemahiran dimulakan pada 1986, ia melahirkan kira-kira 1.3 juta pelatih dalam pelbagai bidang kemahiran.

 

Katanya kerajaan menyediakan peruntukan RM330 juta setahun melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk menjayakan program itu dan beliau menyokong penuh sekiranya kerajaan dapat menambah peruntukan sehingga RM1 bilion.

 

-- BERNAMA

Page generated in 0.06627 seconds.