Gaji minimum: Pekerja boleh buat aduan
Utusan Malaysia (Dalam Negeri) : 22/05/2014

 
PULAU PINANG 21 Mei - Para pekerja yang masih tidak dibayar gaji mengikut ketetapan dalam pelaksanaan gaji minimum boleh membuat aduan di mana-mana Jabatan Tenaga Kerja di negeri masing-masing.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, kementerian memandang serius berhubung dasar gaji berkenaan dan akan terus memantau pelaksanaannya.

Tegas beliau, kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mengikut lunas undang-udang terhadap mana-mana majikan yang gagal mematuhi penetapan dasar gaji minimum itu yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

"Mana-mana majikan yang tidak membayar gaji mengikut pelaksanaan gaji minimum ini boleh didenda RM10,000 untuk setiap pekerja bagi kesalahan pertama dan RM1,000 sehari untuk setiap pekerja bagi kesalahan ulangan serta boleh dipenjara sehingga lima tahun," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan bengkel hasil kajian seminar terhadap pelaksanaan sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti (PLWS) ke arah ekonomi berpendapatan tinggi di sini hari ini.

Tambah beliau, maklum balas daripada para pekerja berhubung gaji minimum itu penting bagi memastikan matlamat pelaksanaan dasar berkenaan tercapai dan dapat ditambah baik pada masa hadapan.

Buat masa ini, katanya, kementerian akan melihat permasalahan yang dihadapi majikan dalam melaksanakan dasar gaji ini sebelum tindakan undang-undang diambil.

Menurut beliau, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) juga sedang dalam proses menilai pelaksanaan dasar terbabit dengan mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak dan hasilnya dijangka dibentangkan Ogos ini.

Menyentuh tentang PLWS, Ismail memaklumkan, sehingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 1,075 syarikat baharu telah melaksanakan sistem berkenaan dan menjadikan keseluruhan 76,023 syarikat mengguna pakai sistem itu sejak diperkenal pada 1996.

Katanya, pertambahan syarikat di dalam pelaksanaan PLWS itu tahun lalu berjaya memberi faedah kepada lebih tiga juta pekerja di negara ini dalam mendapatkan upah yang setimpal, sekali gus meningkat produktiviti syarikat.

"Kerajaan akan terus berusaha bersama pertubuhan majikan dan kesatuan sekerja menarik lebih banyak syarikat melaksanakan PLWS dalam memastikan produktiviti dan upah berjalan seiringan.

"Hubungan majikan-pekerja juga harus sentiasa erat memandangkan gaji setimpal yang ditawar majikan secara tidak langsung akan meningkatkan produktiviti," ujarnya.

Page generated in 0.07585 seconds.