KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu kerajaan menubuhkan Majlis Anti-Membuli Nasional untuk mengkaji gejala membuli di tempat kerja secara komprehensif dan holistik. Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata, MTUC mahu berkerjasama dengan kerajaan membangunkan persekitaran bebas buli dengan matlamat mewujudkan kesedaran mendalam dan menyediakan ruang kepada mangsa untuk bergantung harap. Beliau menambah, gejala membuli oleh syarikat wujud dalam pelbagai bentuk, daripada tindakan menafikan hak asasi manusia dan hak penggajian, termasuk penindasan dan penafian hak-hak kesatuan sekerja.
Menurutnya, ahli-ahli politik dan pelaksana dasar kerajaan juga terlibat dalam gejala ini dengan menyokong majikan sama ada secara nyata tersirat. Sambil mengambil contoh, MTUC berkata, perbuatan membuli pekerja-pekerja industri perhutanan Sabah, yang mana kesatuan tidak diberi pengiktirafan meskipun sudah 25 tahun menuntutnya. Presiden Pekerja-Pekerja Infineon Technologies, Zulfadlee Thye secara tidak sah dibuang kerja kini dihalang menjalankan tugas kesatuan sekerja manakala Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Zoo dipaksa bekerja dalam persekitaran bercanggah dengan nasihat doktor.
Selain itu, HSBC Bank pula memaksa pekerja menerima Skim Pemisahan Sukarela (VSS) walaupun enggan berbuat demikian. Kesatuan sekerja juga dinafikan peluang dan hak untuk terlibat bersama dalam cadangan penggabungan dan pengambilalihan membabitkan RHB-AMMB Holdings Berhad. “Selepas enam dekad negara mencapai kemerdekaan, kita perlu rasa malu jika pekerja-pekerja kita masih berhadapan dengan budaya dibuli. “Membisu dan tidak melakukan apa-apa tentang gejala buli di tempat kerja merupakan satu perbuatan menyokong buli dan pembuli,” katanya dalam kenyataan di sini.
Malah, tambah Solomon, sehingga hari ini kesatuan masih menerima aduan dari seluruh negara tentang budaya buli dan kesatuan pula sukar untuk berfungsi secara bebas dan tanpa rasa takut dalam memperjuangka kebajikan nasib pekerja. Meskipun bukan semua majikan atau organisasi bertindak sedemikian tetapi kerajaan perlu mengambil tindakan tegas untuk hentikan gejala membuli di tempat kerja, ujarnya.

Page generated in 0.0658 seconds.