MARAN 2 Ogos – Sebanyak RM2 bilion diperlukan pada tahun depan bagi membolehkan Kementerian Sumber Manusia menjadi peneraju dalam bidang pembangunan dan pengurusan sumber manusia bertaraf dunia. Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, tambahan peruntukan itu amat diperlukan bagi membantu kementerian membangunkan masyarakat industri yang produktif, bermaklumat, berdisiplin dan penyayang. “Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion kepada kementerian untuk membangunkan sumber tenaga kerja yang mahir, berpengetahuan dan kompetitif sosial dalam Bajet 2015. “Berikutan pelaksanaan tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) mendorong kementerian memohon tambahan sekali ganda sebanyak RM2 bilion pada tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar di Majlis Mesra Aidilfitri Kementerian Sumber Manusia dan Ahli Parlimen Maran di sini semalam. Turut berangkat ke majlis itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan dihadiri Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem. Menurut Ismail, peruntukan besar diperlukan oleh kementerian itu bukan sahaja untuk kegunaan dalam pengurusan dan pentadbiran, malah bagi melaksanakan dasar-dasar serta undang-undang buruh di negara ini. Beliau berkata, perkara tersebut penting bagi mewujudkan tenaga kerja cekap, produktif dan berdisiplin di samping mempunyai nilai-nilai positif dan etika kerja yang baik. “Selain itu ia bagi melaksanakan dasar dan undang-undang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi memastikan persekitaran kerja yang sihat serta selamat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Maran. Tambah beliau, cabaran kementerian ketika ini adalah untuk melahirkan modal insan berkeupayaan meneroka bidang-bidang baharu yang menentukan daya saing negara. “Usaha keras sedang dijalankan bagi melahirkan pekerja berkemahiran tinggi negara kepada 50 peratus pada 2020 sebagai pemangkin memacu pertumbuhan ekonomi negara berpendapatan tinggi,” katanya.

     Print  Email

    Loading Time | Masa Paparan : 0.213269 seconds/saat.